Dasar baru martabat profesion keguruan
KERAJAAN akan mewujudkan gred baru Guru Besar Cemerlang DG41 serta menyediakan laluan cepat untuk DG berasaskan merit dan prestasi tahun ini, sebagai komitmen memartabatkan profesion keguruan yang menjadi teras kelima Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010.
Menerusi pelaksanaan dasar baru laluan cepat, bermakna peluang peningkatan kerjaya berkenaan bukan hanya menggunakan kekananan sebagai asas utama.
Langkah itu ialah antara 14 pelan tindakan fokus memantapkan kerjaya guru digariskan dalam strategi pelaksanaan penambahan perjawatan dan peluasan naik pangkat untuk pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah (PPPS) di Kementerian Pelajaran, jabatan pelajaran negeri (JPN) serta pejabat pelajaran daerah (PPD)/gabungan (PPG).
Memantapkan kerjaya guru dikenal pasti sebagai satu daripada lima fokus utama bagi mencapai matlamat dan dasar teras memartabatkan profesion keguruan yang membabitkan 10 strategi pelaksanaan dengan 49 pelan tindakan.
Empat lagi fokus ialah menambah baik sistem pemilihan calon guru membabitkan satu strategi pelaksanaan dan tiga pelan tindakan, serta memantapkan latihan perguruan (empat strategi pelaksanaan dan 18 pelan tindakan).
Seterusnya, fokus menambah baik persekitaran kerja dan kebajikan guru (dua strategi pelaksanaan dan sembilan pelan tindakan), serta memantapkan perancangan dan pengurusan sumber manusia (satu strategi pelaksanaan dan empat pelan tindakan).
Pelan tindakan lain dalam strategi pelaksanaan sama di bawah fokus memantapkan kerjaya guru itu ialah dasar baru mewujudkan gred kenaikan pangkat kepada PPP di kementerian dan JPN.
Di samping itu, menyediakan kaedah kenaikan pangkat untuk mempercepatkan KUP (khas untuk penyandang) pegawai di kementerian dan JPN memegang jawatan hakiki (dalam tempoh dua tahun).
Seterusnya, mewujudkan dasar lebih jelas bagi program pensiswazahan serta menyediakan unjuran jangka panjang bagi program sarjana dan doktor falsafah (PhD).
Sebagai peningkatan pula, konsep Pengetua Cemerlang Jusa C serta Guru Cemerlang Gred Khas C institut pendidikan guru (IPG) dan Kolej Matrikulasi diperluaskan, selain menetapkan sekurang-kurang seorang Guru Cemerlang bagi setiap sekolah menengah pada Gred DG44.
Selain itu, mempertingkatkan kuota Guru Cemerlang PPP Lepasan Diploma (PPPLD) Gred DGA32 serta menambah gred kenaikan pangkatGuru Cemerlang PPPLD sehingga ke Gred DGA34.
Di samping mewujudkan pelan pembangunan staf, guru cemerlang dan staf sokongan, pelan tindakan lain ialah menambah baik norma perjawatan guru, elaun kepada guru tugas khas serta mengkaji cuti rehat dan juga waktu bekerja guru.
Menerusi strategi pelaksanaan penambahbaikan perjawatan guru di bawah fokus sama pula, pelan tindakan digariskan ialah menambah kuota bagi gred kenaikan pangkat Pengetua Cemerlang dari Gred DG48 hingga Gred Jusa C dan Guru Cemerlang dari Gred DG44 hingga Gred Khas C.
Oleh Syuhada Choo Abdullah BH170107

|