Majlis yang dihadiri oleh semua Pengetua, Guru Besar dan GPK 1 ini telah dirasmikan oleh Ybhg. Puan Azizah bt. Abd. Gani, Pengarah Pelajaran Melaka.
Majlis yang bermula seawal jam 2.00 petang ini telah dimulakan dengan penerangan ringkas SMS Sekolah oleh En. Junaidi bin Jauhari dari Syarikat MyPressto.com. Beliau dan ahli rombongannya telah menerima banyak respon dari para hadirin yang inginkan penjelasan lebih lanjut berkaitan SMS Sekolah yang ternyata berfaedah dan menarik untuk digunakan di sekolah dan juga PPD.
Tuan PPD Jasin dalam ucapannya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Syarikat MyPressto.com (SMS Sekolah) yang sudi menaja SMS Pelancaran Portal yang dihantar oleh Pengarah Pelajaran Melaka sebagai gimik perasmian. Beliau juga turut memuji Unit Maklumat dan ICT yang diketuai oleh En. Yahya bin Hashim kerana telah berjaya membina dan menguruskan portal e-RAJIN untuk diguna pakai oleh semua warga PPD dan juga sekolah di Daerah ini khususnya. "Saya amat berbanga kerana sekolah-sekolah di daerah Jasin amat pro aktif menggunakan emel dan portal kita. Emel dibaca dan dijawab manakala portal kita pula dijadikan sebagai satu hentian untuk berbincang dan bertukar-tukar maklumat sesama kita", tambah beliau lagi sebagai menghargai komitmen pihak sekolah menjayakan portal ini. Diakhir ucapannya, beliau merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Tuan Hj. Rosti bin Mistam (KS Pengurusan Akademik, JPM) yang telah mencetuskan idea pembinaan portal ini semasa menerajui PPD satu ketika dahulu dan syabas pula kepada Tuan Pengarah Pelajaran Melaka kerana akan berpindah ke Kementerian Pelajaran Malaysia mulai 16 April ini.
Puan Azizah bt. Abd. Gani, Pengarah Pelajaran Melaka pula dalam ucapan pelancarannya memuji dan mengucapkan tahniah kepada PPD Jasin kerana telah menjadi peneraju kepada semua PPD di negeri ini dalam melaksanakan pentadbiran berkonsepkan elektronik ini. "Saya berbanga kerana dalam tempoh lima bulan (mulai 1 Oktober 2006), Portal e-RAJIN (e-Rangkaian Jasin) telahpun dikunjungi 14944 pelayar. Ini menunjukkan Portal ini sentiasa mendapat perhatian dan juga sering dijadikan sebagai rujukan beragai pihak", ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian. Belia juga menasihatkan para hadirin agar sentiasa menjalankan tugas dan amanah yang diberikan dengan ikhlas tanpa memikirkan ganjaran kerana beliau yakin, jika sesuatu perkara itu dibuat dengan penuh ikhlas, ganjarannya akan datang dengan sendiri tanpa disangka-sangka.
Tuan Pengarah seterusnya menekan butang HANTAR SMS (Tahniah! Portal e-RAJIN telah dilancarkan, Pengarah Pelajaran Melaka) melalui Web SMSSekolah.com kepada semua hadirin dan warga PPD Jasin yang telah mendaftarkan nombor talian telefon bimbit mereka semasa mendaftar kehadiran. Suasana menjadi agak meriah seketika kerana berbagai bunyi bip dan irama kedengaran sebagai tanda SMS pelancaran diterima oleh para hadirin.
Majlis pelancaran juga mendapat pujian para tetamu apabila buletin khas yang memuatkan laporan Majlis Pelancaran portal dan gambar-gambar terkini pelancaran diedarkan sebaik sahaja majlis berakhir. Usaha gigih jawatankuasa dokumentasi yang diketuai Tn. Hj. Hamzah bin Mohd Taib ini mendapat pujian ramai dan wajar dijadikan sebagai satu budaya di majlis-majlis lain pada masa akan datang. Tahniah dan terima kasih Tn. Hj. Hamzah.