PPD Jasin
 
Laman Utama
 
BERITA PENUH

:: Tajuk Berita




































































































































































































































































































































Al-Fatihah - Guru SMK Seri Bemban Meninggal Kemalangan -

Serkam, 27 Okt.- Seorang guru Sains dan Matematik SMK Seri Bemban, Nurul Mokhzani bin Hj. Mohamad, 29 telah terbunuh dalam kemalangan jalanraya di Serkam Estet, Kg. Serkam Darat semasa dalam perjalanan ke sekolahnya pada jam 7.30 pagi tadi.

Allahyarham yang baru sahaja menyambut ulangtahun kelahirannya pada 30 September 2007 yang lalu sedang memandu bersendirian ketika itu setelah menghantar anak di rumah pengasuhnya di Kg. Tersusun Serkam Darat (berhampiran rumah kediamannya yang sedang dalam proses pembinaan).

Beliau dipercayai gagal mengawal kenderaannya semasa tiba di tempat kejadian dan terus terbabas ke tepi jalan dalam keadaan keretanya berpusing kembali ke arah Serkam sebelum merempuh sebatang pokok. Kejadian ini turut disaksikan beberapa penduduk di kawasan berhampiran ketika itu.

"Masa tu hujan encik, tapi sudah tidak lebat. Saya nampak kereta ini tiba-tiba melorot ke tepi jalan dan melanggar pokok. Saya dan jiran terus berlari untuk membantu mangsa", ujar En. Supiah yang dikenali webmaster (saksi kejadian). Seorang ibu (Isteri En. Idris) yang juga turut membantu menyatakan " Selepas kejadian, mangsa masih hidup dan cuba berkata sesuatu yang kurang difahami kerana tidak jelas perkataannya. Akak dan abang menyuruhnya mengucap dan beliau mengikut Syahadah yang diajar sebelum meninggal tidak lama selepas itu," ceritanya kepada webmaster sambil mengesat air mata.

Difahamkan jenazah Allahyarham tidak mengalami luka luaran tetapi semasa kejadian beliau tidak dapat dikeluarkan dari kenderaan kerana kakinya tersangkut dashboard yang remuk. Pihak polis menjangkakan, kecederaan dalaman mungkin menyebabkan mangsa meninggal dunia. Webmaster yang kebetulan sedang dalam perjalanan ke pejabat sempat merakam suasana di tempat kejadian tersebut.

Allahyarham Mokhzani meningalkan seorang balu, Puan Sharifah Talha bt. Ali Hasan (Guru SK Sempang, Merlimau) dan dua orang cahayamata. Ayahnya, Tn. Hj. Mohamad bin Maizan (Bekas Guru SK Sempang) yang tiba di tempat kejadian menyatakan keredhaannya atas apa yang telah berlaku walaupun cukup sedih kerana kehilangan anak tercinta menjelang Syawal pada tahun ini. Kesedihan ini turut dikongsi bersama Puan Pengetua SMK Seri Bemban dan beberapa guru yang turut berada di tempat kejadian.

Webmaster mengiringi jenazah Allahyarham yang telah dibawa ke Hospital Jasin. Beberapa pegawai PPD termasuk Tuan Pegawai PPD Jasin (Tn. Hj. Rahman bin Abdul Majid) turut sama menanti ketibaan jenazah yang dibawa oleh Landrover polis dari tempat kejadian.

Jenazah Allahyarham dijadualkan dipost-mortem pada jam 10.30 pagi dan dikebumikan di Kg. Sempang, Merlimau, Melaka sebelum Asar, Insya-Allah.

Warga PPD Jasin merakamkan ucapan penuh takziah kepada keluarga Allahyarham dengan doa dan harapan moga-moga roh Allahyarham ditempatkan bersama roh para anbiya dan solihin,Amiin. AL-FATIHAH!




©2007 Unit ICT PPD Jasin